Sistem Akademik Kursus Intensif IT

 

Setiap pelatih akan dinilai prestasi mereka berdasarkan subjek yang dipelajari. Penilaian prestasi dibuat berdasarkan :

1.            kehadiran ke kuliah

2.            ujian/peperiksaan

3.            tugasan(assignment).

Setiap perkara tersebut akan dimarkahkan dan dijumlahkan. Keputusan penilaian prestasi akan dibuat setiap satu bulan.  Ini bermakna sebanyak 3 penilaian prestasi akan dibuat selama kursus berjalan.

 

Keputusan penilaian ini akan diumumkan dan slip keputusan keseluruhan penilaian prestasi akan diberikan bersama surat akuan akademik kepada setiap pelatih kursus. Sistem permarkahan yang digunakan ialah sistem Purata Nilai Gred(PNG)/Grade Point Average(GPA), sebagaimana yang diamalkan di pusat-pusat pengajian tinggi(buku Peraturan Akademik & Asrama akan diberikan pada hari pendaftaran dan majlis taklimat tentang sistem penilaian ini akan diadakan sebelum kuliah bermula). Dengan sistem ini pelatih akan dimotivasi untuk mencapai keputusan cemerlang dalam setiap tugasan dan ujian mereka. Begitu juga mereka mesti menjaga disiplin ketepatan masa(punctuality) ke kuliah untuk memastikan prestasi yang baik.

 

Sijil akan dianugerahkan selepas tamat kursus dalam majlis mini konvokesyen.  Selain dari sijil kursus, pelatih kursus juga berpeluang mendapat sijil Anugerah Bestari yang akan diberikan kepada pelatih yang berjaya mendapat CGPA sebanyak 3.5 dan ke atas. Bagi setiap sesi pengambilan, pelatih terbaik akan dipilih dan dikurniakan sijil Anugerah Pelatih Terbaik.  Selain faktor akademik, aspek-aspek lain seperti akhlak, ketekunan, ikram dan sebagainya akan diambilkira untuk layak dipilih menerima anugerah ini. Seterusnya Anugerah Komputer Emas akan dikurniakan kepada pelatih yang mempunyai ciri-ciri 'genius', contohnya dapat membangunkan suatu aplikasi multimedia interaktif yang dapat dipasarkan sebagai suatu aplikasi yang bermanfaat kepada masayarakat.  Walau bagaimanapun, anugerah ini tidak semestinya dikurniakan pada setiap sesi pengambilan, ia bergantung kepada kebolehan dan kelayakan pelatih untuk memiliki ciri 'genius' ini.